Usaha pupuk kesedaran terhadap tanah lembab – Kosmo Online

02/02/2015

PADA 2 Februari setiap tahun seluruh dunia akan menyambut Hari Tanah Lembab Dunia. Tarikh tersebut dipilih bagi memperingati Konvensyen Ramsar yang ditandatangani pada 1971 di bandar Ramsar, Iran.
Konvensyen tersebut adalah satu perjanjian antarabangsa mengenai tanah lembab yang menyediakan rangka untuk kerjasama antarabangsa dalam pemuliharaan kawasan tersebut.
Tanah Lembab merupakan sebuah kawasan darat yang tanahnya tepu dengan kelembapan air secara berkekalan atau bermusim.

Tanah tersebut dianggap sebagai ekosistem yang mempunyai paling banyak kepelbagaian biologi.
Ia kaya dengan flora seperti pokok bakau, telipuk, rusiga, sipres dan gam selain fauna terdiri daripada amfibia, reptilia, burung, serangga serta mamalia.

Setakat ini, Konvensyen Ramsar dianggotai oleh 154 negara ahli dengan 1,641 kawasan tanah lembab seluas 146 juta hektar yang dikenali sebagai tanah lembab Ramsar.

Malaysia mempunyai enam tapak Ramsar iaitu di Tasik Bera, Pahang; Pulau Kukup, Tajung Piai dan Sungai Pulai, Johor; Kuching Wetland National Park di Sarawak dan Lower Kinabatangan-Segama Wetland, Sabah.

Bagi meraikan sambutan hari berkenaan, seramai 105 orang pelajar dari 10 buah sekolah Ramsar sekitar Kuala Selangor dan sebuah sekolah jemputan iaitu Sekolah Kebangsaan Seksyen 1 Bandar Kinrara, Selangor telah menyertai Program Pendidikan Alam sekitar Sempena Hari Tanah Lembab 2015.

Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang sehari program berlangsung antaranya, bengkel Teknik Fotografi Asas, lawatan ke kawasan hutan paya bakau dan hutan sekunder di Taman Alam Kuala Selangor, lawatan ke inap desa Kampung Sireh, kawasan sawah padi, hutan paya gambut, lawatan ke kawasan muara sungai dan dataran Kampung Sasaran dan melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Koordinator Pendidikan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Selangor, Hashim Ismail berkata, aktiviti-aktiviti yang diatur sepanjang program berkenaan adalah untuk memperkenalkan tanah lembab itu sendiri di samping spesies flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut kepada para pelajar.

“Menerusi program ini, kami cuba memperkenalkan kepada pelajar-pelajar ini kawasan-kawasan tanah lembab melalui lawatan ke hutan paya bakau, sawah padi, hutan paya gambut, muara sungai dan dataran lumpur.

“Ketika lawatan, para pelajar diberi peluang melihat dengan lebih dekat spesies flora dan fauna di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pada majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, pihak MNS telah menyerahkan cek bernilai RM500 bagi menjayakan program tersebut.

Jelas Hashim menerusi program tersebut, pihaknya berharap dapat menjadikan Kuala Selangor sebagai sebuah kawasan Ramsar, sekali gus memelihara alam sekitar di situ.

“Program ini merupakan salah satu cara untuk menjadikan kawasan ini sebagai sebuah tapak Ramsar di negara ini.

“Sekiranya, status Ramsar berjaya diperoleh, ia dapat mengurangkan pembangunan yang boleh membawa kepada kerosakan alam sekitar di kawasan ini,” terangnya.

Kesedaran

Hashim berharap, program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu memberi kesedaran kepada generasi muda terhadap kepentingan tanah lembab.

Hal ini kerana masyarakat kini kurang memberi perhatian kepada kawasan berkenaan sehingga menyebabkan ia terjejas dan semakin berkurangan.

Sementara itu, menurut Noraini tanah lembab menjadi habitat kepada hutan paya bakau yang merupakan tunjang terhadap kekukuhan serta kekuatan kawasan pesisir pantai.

“Setiap kehidupan yang terdapat di atas muka bumi ini mempunyai peranan masing-masing. Pembangunan yang tidak terancang dan berleluasa akan mempengaruhinya

“Kita mengucapkan tahniah kepada semua sekolah dan pelajar yang terlibat menjalani program Ramsar dengan penerimaan cek untuk menjalankan projek yang akan dibentangkan pada Oktober nanti,” katanya.

Sumber artikel: Kosmo Online